Leaving Behind
posted at Saturday, November 23 ,
November 23, 2019
Hampir 2 bulan telah berlalu selepas aku menghantar tulisan berkenaan dengan kerjaya aku sebagai Arkitek Landskap di syarikat swasta yang aku kerja sekarang. Tidak lama lagi aku akan membuka lembaran yang baru di tempat yang baru. Suatu yang aku tidak pernah lakukan sebelum ini dalam bidang kerjaya. Berbohonglah aku kalau katakan yang aku tidak ada sedikit rasa takut untuk tempuh hidup baru. Risiko yang aku ambil dengan meninggalkan kerjaya yang aku telah bina walaupun hanya setahun 4 bulan aku berkhidmat sebagai Arkitek Landskap. Tetap aku merasai, keputusan yang aku ambil ini adalah keputusan yang berbaloi demi mengubah nasib diri yang seakan-akan sama hampir setiap bulan. Makan gaji yang tak pernah dirasai cukup. Tetap aku bersyukur ke atasNya dengan apa yang aku punya sekarang. Memang benar kata orang, tak semua yang kita impikan akan menjadi kenyataan. Apa yang dimahukan tidak semestinya dapat dimiliki. Akan tetapi haruslah panda meletakkan rasa syukur ke atas apa yang ada di depan mata.
Manusia memang mudah lupa. Kadang tak perasan dan tak hargai apa yang ada di depan mata Dan mengharapkan sesuatu yang belum tentu dipunya. Sedangkan yang didepan mata seringkali mengatur langkah untuk membahagiakan.
Selamat tinggal wahai rakan seperjuangan. Terima kasih atas jasa dan ilmu. Yang buruk kita tinggalkan yang baik kita imarahkan. Terlalu banyak kenangan dan pengalaman dalam jangka setahun sepanjang kita bersama. Turun naik kita tempuh. Masa yang singkat bagi kalian tetapi agak lama bagi diri aku. Aku tidak kesal dengan keputusan yang aku putuskan. Tidak sekali aku akan berpatah balik pulang ke arah yang sama. Aku ingin menjadi burung yang terbang seperti helang. Gah Dan dihormati setiap yang memandang. Aku perlukan potensi. Aku perlukan tempat untuk aku bangunkan semangatku, luaskan pemikiranku dan realisasikan impianku.

